
KUALA LUMPUR: Malaysia berupaya untuk menjadi peneraju dalam bidang keselamatan siber yang berupaya memberi impak positif sepanjang menjadi Pengerusi ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) menyokong usaha Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk menerajui inisiatif pengukuhan keselamatan siber negara, terutamanya dalam melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
Selaras Kepengerusian ASEAN 2025, katanya beliau juga dimaklumkan mengenai penganjuran Cyber Defense and Security Exhibition and Conference (CYDES) 2025 serta penyediaan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (2025-2030) yang baharu bagi mengukuhkan strategi berkaitan keselamatan siber negara.
“Mesyuarat turut bersetuju supaya NACSA menerajui Pusat Kriptografi Negara yang dimulakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan turut membuka ruang kepada para penyelidik daripada universiti lain untuk sama terbabit.
“Pusat ini perlu inklusif dengan penglibatan pakar, intelektual dan sektor swasta yang mampu memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam teknologi kriptografi,” katanya menerusi hantaran dalam media sosial.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan negara tidak ketandusan pakar dalam bidang itu, namun harus memastikan terdapat kesinambungan antara sektor akademik, keperluan industri serta keutamaan memelihara ekosistem keselamatan siber negara.
“Mesyuarat juga bersetuju supaya Malaysia menyertai Budapest Convention dan United Nation Convention Against Cybercrime bagi menunjukkan komitmen negara dalam menangani jenayah siber di peringkat semua peringkat.
“Saya juga menyokong supaya satu rang undang-undang (RUU) jenayah siber digubal bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya.
Sebelum ini, Anwar menyatakan tahap keselamatan siber Malaysia berada pada tahap yang lemah berbanding negara lain.
Beliau berkata, ia mendorong kerajaan memperkenalkan peraturan dan RUU keselamatan siber untuk mengawalnya.