
PUTRAJAYA : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) Putrajaya Siri FG bermula hari ini hingga 6 Januari.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bidaan itu dibuka menerusi Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) sempena pembukaan cawangan pejabat baharu JPJ di Bangunan Komersial PJH Presint 4.
Beliau berkata, pembukaan pejabat baharu itu juga melambangkan komitmen JPJ dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat untuk menilai berdasarkan tindakan jabatan,
“Langkah ini bukan saja menambah hasil JPJ, tetapi membuka peluang kepada orang ramai memiliki nombor istimewa pada kenderaan mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, pembukaan pejabat baharu itu susulan lawatan mengejut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ke pejabat JPJ pada September lalu yang mengenal pasti dua isu utama iaitu masa menunggu yang panjang serta ruang menunggu tidak mesra pelanggan.
Loke berkata, pejabat baharu JPJ itu disiapkan dalam tempoh empat bulan dan menawarkan kemudahan moden lebih kondusif dengan kapasiti lebih besar bagi menampung bilangan pelanggan.
Katanya, jumlah perkhidmatan ditawarkan di cawangan itu juga diperluaskan daripada 27 jenis urus niaga kepada 106, menjadikan pejabat ini setaraf dengan pejabat JPJ negeri dan mencerminkan peningkatan kemampuan jabatan itu memenuhi keperluan rakyat.
“Pejabat ini juga dilengkapi teknologi seperti JPJ Assist dan perkhidmatan kios bagi membolehkan pelanggan menyelesaikan urusan lebih cepat dan efisien, namun masih mengekalkan kaunter fizikal bagi melayani pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Loke menggesa JPJ memperhebatkan penguatkuasaan membabitkan kenderaan berat susulan peningkatan jumlah kemalangan jalan raya kenderaan itu yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Katanya, pengawasan perlu ditingkatkan bagi memastikan pemandu mematuhi had masa pemanduan dan kenderaan diselenggara dengan baik.