
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan supaya Pelan Tindakan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) disemak semula agar ia selari dengan fokus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW berkata, Pelan Strategik KKDW 2025 juga perlu dikaji semula.
“DPLB 2030 dan pelan strategik kementerian perlu berada di laluan yang tepat untuk membangunkan masyarakat desa di negara ini.
“Kini, kita berada di fasa terakhir RMKe-12. Segala yang dilaksanakan perlu diukur untuk menilai pencapaian, mengenal pasti jurang dan memperbaiki kelemahan dalam perkhidmatan kepada masyarakat desa.
“Pada masa yang sama, kita sedang menuju ke RMKe-13, yang pastinya memerlukan perancangan yang lebih berani dan radikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 KKDW di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, KKDW juga harus bekerjasama dengan badan penyelidikan pihak ketiga bagi memastikan penilaian program dan inisiatif dibuat secara objektif.
Justeru, beliau mengarahkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menjalankan kajian menyeluruh mengenai tahap kepuasan rakyat terhadap penyediaan keperluan asas, kemudahan asas dan usaha memangkin sosioekonomi kawasan desa bagi bagi memahami maklum balas rakyat.
“Dapatan ini sangat penting untuk memastikan perancangan kita kekal relevan dan lebih berkesan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau juga mahu kementerian menjalinkan kerjasama strategik yang lebih kukuh melalui pendekatan ‘fungsi silang’ dengan mengumpulkan kekuatan setiap organisasi yang mempunyai pelbagai kemahiran dan pengalaman untuk mencapai satu matlamat.
“Pendekatan itu akan dilaksanakan melalui tiga kluster utama iaitu Modal Insan, Ekonomi dan Usahawan.
“Saya yakin jika kita dapat mengadaptasi pemikiran strategik melalui pendekatan ini, kita mampu mengelakkan pertindihan peranan dan meningkatkan kecekapan.
“Kita juga juga dapat mengoptimumkan penggunaan sumber yang terhad dengan lebih efektif,” katanya.