
BATU PAHAT: Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan sebanyak 133 Pusat Peperiksaan Alternatif (PPA) \bagi menempatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di enam negeri yang berisiko jika pusat peperiksaan sedia ada dilanda banjir.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata PPA itu diwujudkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah sebagai langkah awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang peperiksaan SPM berlangsung khususnya ketika Monsun Timur Laut (MTL).
“Kita juga mengambil kira kemungkinan ada sekolah dijadikan pusat peperiksaan tetapi sekolah itu dilanda banjir.
“KPM sudah bersiap siaga dengan semua mekanisme dan pelan mitigasi membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Meteorologi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahan Awam (APM), Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Sekiranya musibah berlaku, kita akan alihkan calon ini ke PPA yang sudah kita sediakan bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM di Sekolah Tinggi Batu Pahat (HSBP), hari ini.
Seramai 402,956 calon menduduki SPM bertulis bermula hari ini membabitkan 3,337 pusat peperiksaan dan 3,455 sekolah di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 87.1 peratus atau 350,943 adalah calon sekolah bantuan kerajaan, manakala selebihnya calon lain termasuk persendirian dan sebagainya.
Selain itu, terdapat 2,081 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) dengan keseluruhan 44,968 petugas peperiksaan bermula hari ini sehingga 6 Februari ini.
Azman berkata, beliau juga dimaklumkan pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bahawa tidak timbul sebarang masalah berkaitan pengendalian peperiksaan walaupun beberapa hari lalu ada beberapa sekolah terbabit banjir dan pelajar terkesan.
Sementara itu, Azman berkata, KPM juga bersedia sepenuhnya dalam memberikan perkhidmatan berkaitan sokongan psikososial kepada calon SPM di seluruh negara.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai pasukan membabitkan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan JPN untuk membantu calon yang terkesan.
“KPM akan mengaktifkan Operasi Payung sedia ada untuk membantu calon dan juga petugas peperiksaan yang terkesan.
“Mekanisme kita adalah memastikan calon yang terkesan ini dapat ditempatkan di sekolah yang mempunyai asrama sebagaimana mekanisme yang kita lakukan ketika ujian lisan SPM pada musim banjir,” katanya.