
KUALA LUMPUR: Anak kelahiran Colombia, Julian Quinones semakin meniti di bibir peminat bola sepak dunia selepas penampilan cemerlang bersama pasukan Mexico pada Piala Dunia FIFA 2026.
Penyerang berbisa itu bukan sahaja mencuri perhatian menerusi aksi bertenaga di depan gawang gol malah kisah hidupnya yang unik menjadi inspirasi kepada ramai peminat sukan.
Dilahirkan pada 24 Mac 1997 di Magui Payan, Colombia, dia membesar dengan impian besar untuk bergelar pemain bola sepak profesional.
Pemain bola sepak itu menyertai skuad remaja kelab Mexico, Tigres, pada tahun 2015 selepas bakatnya dikesan oleh pencari bakat ketika beraksi dalam kejohanan kebangsaan bawah 17 tahun di Colombia.
Quinones yang berhijrah ke Mexico bagi mengembangkan kerjaya dunia bola sepak untuk beraksi dalam liga domestik negara itu turut menyarung jersi bersama kelab-kelab ternama seperti Atlas dan Club America.

Pada tahun 2023, dia memperoleh kerakyatan Mexico sekali gus membuka ruang menyarung jersi kebangsaan Mexico dan menjadi sebahagian daripada skuad El Tri.
Biarpun lahir di Colombia, Quinones berjaya memenangi hati penyokong Mexico menerusi semangat juang tinggi dan prestasi konsisten di atas padang.
Memiliki kepantasan, kekuatan fizikal serta ketajaman merobek gawang lawan menjadikan dia antara penyerang berbisa di rantau Amerika Utara.
Kemuncak popularitinya hadir apabila beliau mencipta sejarah dengan menjaringkan gol dalam aksi pembukaan Piala Dunia FIFA 2026.

Jaringan tersebut bukan sahaja membantu Mexico memulakan kempen dengan langkah kanan malah meletakkan namanya terpahat dalam lipatan sejarah kejohanan paling berprestij dunia itu.
Quinones bukan sekadar seorang pemain bola sepak tetapi menjadi simbol bahawa bakat, kerja keras dan keberanian merebut peluang mampu mengubah nasib seseorang.
Pemain berasal dari sebuah bandar kecil di Colombia hingga ke pentas terbesar bola sepak dunia bersama Mexico membuktikan bahawa impian besar sentiasa boleh menjadi kenyataan.
Pada musim ini, dia menjadi penjaring terbanyak liga Saudi Pro League bersama pasukan Al Qadsiah dengan meledak sebanyak 33 gol.






