
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Iran bersetuju untuk tidak memiliki senjata nuklear menerusi satu perjanjian yang menurutnya berjaya dicapai bagi menamatkan konflik antara kedua-dua negara.
Trump membuat kenyataan itu ketika berucap menerusi siaran tele-rali bagi menyokong calon Senat Republikan, Barry Moore.
Menurutnya, persetujuan tersebut merupakan hasil penting rundingan yang berlangsung antara Washington dan Tehran dalam usaha meredakan ketegangan yang memuncak sejak beberapa minggu lalu.
“Saya tidak tahu sama ada anda sudah mendengarnya, tetapi hari ini kita telah menamatkan perang dengan Iran dan mereka bersetuju untuk tidak memiliki senjata nuklear, sesuatu yang menjadi tuntutan utama kita,” katanya.
Trump menyifatkan perjanjian itu sebagai kemenangan besar kepada AS dan menegaskan Washington memperoleh apa yang diinginkan menerusi rundingan berkenaan.
“Kita memperoleh perjanjian yang hebat. Tiada senjata nuklear. Kita mendapat semua yang kita mahukan,” ujarnya.
Katanya, komitmen Iran untuk tidak membangunkan senjata nuklear merupakan objektif utama pentadbirannya sejak konflik tercetus.
Trump berkata, isu nuklear itu mewakili hampir keseluruhan matlamat rundingan yang dijalankan antara kedua-dua negara.
Beliau turut memaklumkan anggota tentera AS yang ditempatkan di rantau Asia Barat dijangka mula pulang dalam masa terdekat susulan perkembangan tersebut.
Langkah itu, katanya, mencerminkan pengurangan ketegangan ketenteraan serta membuka ruang kepada usaha mengekalkan keamanan di rantau berkenaan.
Namun, dakwaan yang dibuat Trump itu setakat ini belum menerima sebarang pengesahan rasmi daripada pihak Iran.
Sebelum ini, beberapa pegawai kanan Teheran menegaskan masih belum wujud keputusan muktamad berhubung sebarang perjanjian dengan AS.
Perkembangan itu menimbulkan tanda tanya mengenai status sebenar persetujuan yang diumumkan oleh Presiden AS berkenaan.
Kenyataan Trump hadir ketika hubungan kedua-dua negara berada pada tahap tegang susulan ancaman ketenteraan serta beberapa tindakan balas yang berlaku di Asia Barat sejak kebelakangan ini.
Malah, Trump sebelum ini turut mengumumkan pembatalan beberapa tindakan ketenteraan yang dirancang terhadap Iran dengan alasan rundingan menunjukkan kemajuan positif.






