
BANGKOK: Puteri sulung Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, Puteri Bajrakitiyabha Mahidol, mangkat pada usia 47 tahun selepas mengalami masalah kesihatan yang berpanjangan.
Menurut kenyataan rasmi Istana Diraja Thailand, baginda mangkat di sebuah hospital di ibu negara pada Khamis malam selepas berada dalam keadaan koma sejak Disember 2022.
Puteri Bajrakitiyabha rebah akibat masalah jantung ketika menjalani latihan anjing ketenteraan sebelum dikejarkan ke hospital dan tidak sedarkan diri sejak kejadian tersebut.
Sepanjang tempoh rawatan, keadaan kesihatan baginda semakin merosot berikutan beberapa komplikasi serius termasuk jangkitan, gangguan irama jantung dan tekanan darah rendah.
Istana memaklumkan pasukan perubatan telah memberikan rawatan intensif secara berterusan, namun usaha berkenaan gagal memulihkan keadaan baginda.
Dilahirkan pada 7 Disember 1978, Puteri Bajrakitiyabha merupakan anak sulung Raja Vajiralongkorn dan antara anggota keluarga diraja yang paling menonjol dalam perkhidmatan awam negara itu.
Baginda memiliki kelulusan tinggi dalam bidang undang-undang termasuk ijazah sarjana serta doktor falsafah (PhD) daripada Universiti Cornell di Amerika Syarikat.
Sepanjang kerjayanya, baginda pernah berkhidmat sebagai pendakwa raya selain memegang beberapa jawatan diplomatik penting, termasuk sebagai Duta Thailand ke Austria dari 2012 hingga 2014.
Puteri Bajrakitiyabha turut dikenali sebagai tokoh yang aktif memperjuangkan kebajikan wanita dan pembaharuan sistem keadilan jenayah di Thailand.
Antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah projek Kamlangjai yang bertujuan membantu banduan wanita serta memudahkan proses mereka kembali ke masyarakat selepas tamat menjalani hukuman.
Pemergian baginda disifatkan sebagai kehilangan besar kepada institusi diraja Thailand memandangkan Puteri Bajrakitiyabha sering dianggap sebagai antara figura penting dalam keluarga diraja.
Selain memainkan peranan aktif dalam pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan, baginda juga dihormati kerana komitmen terhadap isu pembangunan sosial dan hak wanita.
Istana Diraja Thailand memaklumkan istiadat pengebumian akan dilaksanakan mengikut adat diraja dengan penghormatan tertinggi.
Jasad baginda akan ditempatkan di Istana Besar Bangkok bagi membolehkan rakyat memberikan penghormatan terakhir sebelum upacara pengebumian dijalankan.
Berita kemangkatan puteri berkenaan mencetuskan suasana dukacita dalam kalangan rakyat Thailand yang mengenali baginda sebagai seorang tokoh berwibawa, berpendidikan tinggi dan banyak berjasa kepada negara.






