
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat kajian serta menilai semua buku berunsur Islam terbitan syarikat berkait dengan wanita yang menghina Nabi Muhammad SAW, sama ada kandungannya selari fahaman Ahli Sunnah Wal Jaamah (ASWJ).
ISLAMI dalam kenyataannya, berkata wanita terbabit adalah pengerusi syarikat penerbitan berkenaan adalah individu yang membuat kenyataan di laman sosial Facebook dengan mengaitkan Rasulullah dengan isu kronisme serta nepotisme dalam penulisannya.
Pertubuhan itu berkata, kajian dan penilaian terhadap penerbitan syarikat itu penting bagi memastikan pandangan yang salah, meragukan dan membawa kepada penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW tidak terus berleluasa sekali gus merosakkan fahaman umat Islam di negara ini.
“ISLAMI memandang serius dan menilai kenyataan yang dikeluarkan oleh wanita itu menerusi akaun Facebooknya pada Sabtu lalu yang disifatkan sebagai kenyataan sangat tidak wajar dan boleh membawa kepada penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW.
“Sirah Baginda seharusnya dilihat melalui kaca mata Islam berteraskan pandangan yang benar dan adil serta tidak berpaksikan kaedah simplistik dalam kerangka perspektif barat.
“Sebagai seorang Nabi dan Rasul yang bersifat siddiq dan amanah, maka sudah pasti setiap tindakan Baginda dibimbing oleh petunjuk Ilahi yang jauh dari pengaruh keinginan nafsu, apatah lagi melakukan sesuatu kerana kepentingan keluarga, dunia dan seumpamanya,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
ISLAMI mengingatkan, berdasarkan fakta sejarah, Khulafa al-Rasyidin diangkat menjadi pemimpin melalui kaedah Syura dalam kalangan umat Islam yang menilai melalui kriteria ketokohan pada waktu itu.
“Sepanjang hayat Nabi, Baginda tidak pernah dengan jelas menyatakan siapakah penggantinya selepas wafat, bahkan pelantikan Sayidina Abu Bakar adalah berdasarkan hujah Sayidina Umar bukan kerana sabda Nabi.
“Jadi dakwaan Nabi mengamalkan kronisme dan nepotisme adalah suatu kesimpulan yang salah dan tidak berasas,” tegas pertubuhan itu.
ISLAMI menegaskan, menganggap keutamaan sahabat seperti Sayidina Abu Bakar As-Siddiq; Sayidina Umar al-Khattab; Sayidina Uthman bin Affan dan Saiyidina Ali bin Abi Talib sebagai tindakan kronisme dan nepotisme hanya kerana mereka mempunyai ikatan kekeluargaan bersama Nabi, adalah suatu tuduhan liar yang tidak bersandar kepada hakikat kebenaran yang nyata.
“ISLAMI menasihatkan semua pihak supaya sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan agama Islam supaya ia tidak membawa kepada kekeliruan, fitnah dan tohmahan terhadap agama suci ini,” menurut pertubuhan itu.