
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang individu yang menampar lelaki berbangsa Cina beberapa kali kerana makan di bulan Ramadan adalah satu provokasi yang tidak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian negara.
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang menegaskan tindakan itu harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di negara yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.
Beliau turut mengutuk keras keganasan, diskriminasi dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum.
“Isu-isu yang menyentuh soal perpaduan tidak boleh dipandang remeh.
“Kita tidak boleh membiarkan sebarang insiden yang boleh meruntuhkan keharmonian rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran di X.
Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Elijah itu sudah membuat laporan di Balai Polis Tampoi berhubung insiden di Johor itu.
“Saya dimaklumkan polis akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Saya berharap agar semua pihak memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Terdahulu, mangsa menerusi hantaran di aplikasi itu mendakwa kejadian berlaku ketika dia ingin menikmati makanan di sebuah pusat beli-belah sebelum warga emas terbabit bertanyakan kepadanya sama ada dia Islam atau tidak.
Katanya, lelaki itu kemudiannya meminta untuk melihat kad pengenalan sebelum menamparnya.
Anak kepada lelaki itu kemudiannya segera menenangkan keadaan dan memohon maaf bagi tindakan bapanya.