
IPOH: Insiden serangan pengganas, tembakan dan tebusan pelajar di Politeknik Ungku Omar (PUO) yang tular di media sosial hari ini merupakan latihan pengurusan dan pengendalian krisis oleh pasukan 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK).
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata latihan skala kecil, Ex Kurung tersebut bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), PUO dan Hospital Raja Permaisuri Bainun dalam mengurus serta mengendalikan krisis keganasan seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
.
Beliau berkata kehadiran sejumlah anggota polis, kenderaan pasukan keselamatan dan kesihatan termasuk helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM di sekitar politeknik berkenaan adalah sebahagian daripada latihan tersebut.
“Latihan seumpama ini dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk menguji keberkesanan pelan tindakan pengurusan krisis keganasan bagi memastikan keadaan keselamatan dan
ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan menyebarkan spekulasi tidak tepat berkaitan kejadian dan latihan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pagi ini tular video memaparkan sekumpulan ‘penganas bersenjata’ menyerang dan menahan seorang pensyarah serta beberapa pelajar sebagai tebusan.
Video itu turut memaparkan beberapa aksi serangan dan keadaan kelam kabut pelajar dan warga PUO berlari untuk menyelamatkan diri.