
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran akan memerangi habis-habisan kumpulan yang cuba mengumpul kekayaan menggunakan nama Melayu dan Bumiputera.
Berucap pada sambutan Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke-59, Anwar yang juga menteri kewangan berkata pengkhianatan itu mengakibatkan banyak dana dikhususkan untuk komuniti itu lebur.
“Jangan guna nama Melayu bagi memunggah kekayaan untuk peribadi, jangan guna peluang atas nama Bumiputera untuk mengkhianati amanah.
“Kita akan lawan dan perang kumpulan ini, berapa banyak dana Bumiputera yang lebur kerana isu tatakelola tidak diurus (dengan telus), kita cakap soal AI (kecerdasan buatan) tetapi prinsipnya soal akhlak,” katanya.
Beliau juga mahu Mara mengambil peranan lebih ke depan untuk melawan sentimen melemahkan dan melonglaikan semangat bangsa Melayu dan Bumiputera.
“Kita kena betulkan pandangan meleset, lemah dan longlaikan semangat bangsa…kita buktikan sebaliknya dan mahu Mara ambil peranan ini,” katanya.
Anwar turut menegaskan pentadbirannya tidak akan tunduk terhadap sebarang desakan yang mungkin wujud susulan keputusan kerajaan menetapkan 70 peratus murid di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Mara mesti mengikuti pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) bermula tahun depan.
Menurutnya, langkah itu dibuat bagi menangani kemerosotan minat pelajar Melayu dan Bumiputera dalam STEM yang dibimbangi akan memberi kesan pada masa depan.
“Kalau ada ibu bapa atau gesaan dari ketua parti politik tak senang, saya percaya kita ada kekuatan untuk kata tidak.
“Kita mahu Melayu dan Bumiputera ‘survive’ dalam pembangunan ini,” tegasnya.
Pada majlis itu Anwar turut melancarkan Wakaf Mara Madani (WMM) sebagai platform mengumpul dana wakaf daripada orang ramai dan menguruskannya secara profesional dengan prinsip syariah.