
SHAH ALAM: Sebuah hub pengumpulan dan pengoperasian syarikat kurier di Meru, Klang kerugian RM46,000 selepas disamun tiga individu bertopeng dan bersenjatakan parang tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, polis menerima laporan dari seorang wanita berusia 21 tahun iaitu kerani syarikat berhubung kejadian samun pada pukul 1.19 tengah hari.
“Menurut pengadu, kejadian berlaku pukul 12.26 tengah hari semasa proses pengiraan wang tunai dilakukan di hub berkenaan.
“Tiga individu bersenjatakan parang serta bertopeng tiba di lokasi dengan menaiki kereta Perodua Bezza berwarna biru dan melarikan wang tunai sejumlah RM46,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan dan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan