
ARAU: Hasil kejayaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dilaksana secara berterusan mampu membantu negara melahirkan 60,000 jurutera untuk syarikat antarabangsa dan tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, institusi kerajaan kini menawarkan kursus peningkatan kemahiran kepada pekerja mahir sedia ada.
Beliau berkata, kursus peningkatan kemahiran itu juga berjaya menjadikan pekerja tempatan kepada pekerja mahir tinggi sehingga mereka ditawarkan gaji lumayan di dalam dan luar negara.
“Mengambil contoh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), institusi ini berjaya membekalkan pekerja mahir terutama dalam bidang Elektrik dan Elektronik (E&E) yang menjadi antara eksport terbesar kepada negara.
“Disebabkan itu, kita sangat memerlukan ramai tenaga kerja dalam bidang ini dan UniMAP menjadi antara penyumbang utama kepada graduan dalam bidang E&E ini.
“Pada masa sama, UniMAP juga telah menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) dan termasuk dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang diyakini dapat membawa negara ke hadapan dalam bidang AI,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi lawatan kerja ke Kampus Alam UniMAP di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, antara penerima manfaat kepada program peningkatan kemahiran pekerja yang disediakan UniMAP adalah pihak industri di Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech).
Katanya, pemain industri ini mendapat jaminan di mana mereka mendapat pekerja mahir dan profesional dalam bidang E&E secara berterusan hasil latihan yang disediakab UniMAP.
“UniMAP sebagai Pusat Latihan TVET dilihat berada di barisan hadapan untuk memaju kewujudan 60,000 jurutera yang diperlukan pasaran hasil kejayaan program TVET Tinggi.
“Berikutan itu, Majlis TVET Negara meluluskan peruntukan RM1 juta kepada UniMAP dengan RM200,000 digunakan bagi mengendalikan kursus berkaitan E&E dan RM800,000 untuk membeli perkakas dan peralatan untuk latihan.
“Latihan peningkatan kemahiran yang dibuat UniMAP membolehkan graduannya mendapat gaji premium dengan kebolehpasaran graduannya mencapai 98.8 peratus,” katanya.