Nasional

Kemelut Proses Pemilihan Lubuk Kampung Benih Pesaka Dato’ Undang Luak Rembau ke-22: Apo Laie Dato’ Nak?

Kemelut dalam pemilihan Lubuk Kampung Benih Pesaka Dato’ Undang Luak Rembau ke-22 nampaknya semakin meruncing. Dato’ Perba, yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerapatan pertama, telah mengarahkan supaya kerapatan diadakan sekali lagi. Pada 24 Jun 2024, undian kerapatan buapak telah diadakan, dan Kampung Tanjung mendapat sokongan majoriti. Lima daripada lapan buapak telah menandatangani borang pengisytiharan keputusan, yang mengesahkan Kampung Tanjung sebagai kampung terpilih. Namun, Dato’ Perba telah menangguhkan pengisytiharan keputusan tersebut tanpa sebarang penjelasan.

Dalam istiadat kerapatan kedua pada 2 Julai 2024, Pengerusi kerapatan mengumumkan bahawa keputusan tetap sama, di mana Kampung Tanjung masih dipilih sebagai kampung benih pesaka Dato’ Undang Luak Rembau ke-22. Walaupun begitu, Dato’ Perba masih enggan mengisytiharkan kemenangan Kampung Tanjung.

Tindakan Dato’ Perba ini menimbulkan tanda tanya. Adakah beliau mempunyai kepentingan peribadi untuk menobatkan kampung pilihannya? Spekulasi ini dikuatkan lagi apabila Dato’ Perba menuduh bahawa kerapatan pertama dan kedua tidak mengikut tatacara pemilihan yang sedia ada. Mengikut tatacara tersebut, giliran Kampung Pulau untuk dipilih sebagai kampung benih pesaka Luak Rembau setelah menunggu selama 156 tahun. Namun, aturan ini hanya sah jika kampung tersebut mematuhi segala adat dan nilai-nilai amalan adat perpatih.

Pada kerapatan pertama, Pengerusi mencadangkan agar Kampung Pu diiktiraf sebagai kampung benih pesaka Luak Rembau. Namun, bantahan dari buapak yang bersidang membuktikan adanya kecacatan serius yang membabitkan Kampung Pu. Oleh itu, pengundian secara sulit dilakukan, dan Kampung Tanjung dipilih berdasarkan fakta yang kukuh yang dikemukakan oleh Buapak Delapan Kampung.

Tindakan Dato’ Perba yang mengetepikan keputusan dua kerapatan yang dijalankan mengikut adat demi kepentingan sendiri adalah satu pengkhianatan kepada adat dan tradisi yang telah lama dipertahankan. Dato’ Perba seharusnya duduk semeja dengan Buapak Delapan Kampung, bukannya menyembunyikan diri. Oleh kerana pelanggaran yang jelas oleh Dato’ Perba, Buapak Delapan Kampung Biduanda dengan tegas meminta agar keputusan kerapatan pertama diiktiraf dan Kampung Tanjung diisytiharkan sebagai kampung benih pesaka Dato’ Undang Rembau ke-22 dengan segera.

Keputusan ini penting untuk menegakkan keadilan dan memastikan bahawa adat dan tradisi tidak dicemari oleh tindakan yang berlandaskan kepentingan peribadi. Dato’ Perba sepatutnya menghormati keputusan kerapatan dan mengisytiharkan Kampung Tanjung sebagai kampung benih pesaka Dato’ Undang ke-22 tanpa sebarang penangguhan lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *