KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai kelebihan sebagai pengerusi pada kali ini yang boleh mempengaruhi negara-negara lain dalam ASEAN dalam isu antarabangsa.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, bagaimanapun Malaysia hanya boleh bersuara jika melibatkan isu kontroversi yang berlaku dalam sesebuah negara ASEAN.
Katanya, ini termasuk berkaitan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dikekalkan selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
“Umum mengetahui Malaysia mempunyai kepentingan di Laut China Selatan khususnya membabitkan penerokaan kawasan minyak dan gas di perairan tersebut,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan kenyataan bersama ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-27 di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane, Laos, baru-baru ini menyatakan ASEAN turut menggesa Kod Tatakelaku (COC) di Laut China Selatan dimuktamadkan secepat mungkin selari prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk UNCLOS 1982.
Dalam perkembangan sama, Abu Abu Sofian mengakui peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN Ke-46 juga boleh memberi impak dan kesan positif kepada sosial dan budaya.

“Ini boleh dilihat mungkin daripada segi kefahaman budaya dan kehidupan di bawah pemerintahan yang berbeza.
“Dalam masa sama juga boleh menggunakan platform ini dalam menganjurkan pertukaran budaya atau membuat pertunjukan kebudayaan di setiap negara ASEAN. Hal ini membolehkan orang luar mengenali budaya Malaysia yang pelbagai sekali gus membuka ruang dalam sektor pelancongan negara.
“Dengan ini, kita akan menjadi lebih apresasi mengenai kebudayaan dan kehidupan orang berlainan bangsa dan budaya,” ujarnya.
Sementara ketika ditanya mengenai demonstrasi menentang kerajaan yang dianjurkan di ibu negara pada 25 Januari lalu, beliau menyatakan tindakan tersebut antara lain boleh memberi kesan dan gambaran buruk terhadap Malaysia walaupun kebiasaannya negara-negara lain tidak masuk campur.
“Mereka menghormati pemerintah sesebuah negara itu, kecuali ia melibatkan kesan kepada ASEAN secara serantau dan bukan negara individu,” jelasnya.
