
SEPANG: Pelakon dan pelawak, Along Cham sujud syukur dalam kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis.
Namun, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan dadah serta dibenarkan ikat jamin RM5,000.
Di Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya memaklumkan, hasil laporan kimia tertuduh, pendakwaan memohon pertuduhan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dipinda dan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dituduh atas Seksyen 39A(1) ADB 1952.
Mendengar perkara itu, Hakim Ahmad Fuad Othman memerintahkan Along dilepas tanpa dibebaskan.
“Pertuduhan kamu bawah seksyen ini (39A(2)) DNAA. Kamu akan dituduh di mahkamah majistret kerana pertuduhan kamu diturunkan,” katanya.
Di Mahkamah Majistret, Along mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis kanabis dan memasukkan dadah ke badannya.
Mengikut pertuduhan pertama, pelawak itu didakwa dalam milikannya bahan berbahaya jenis kanabis seberat 49.61 gram di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC), di lokasi sama pada jam 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh dibaca bersama 38B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Pada 20 Disember tahun lalu, Along didakwa memiliki bahan disyaki kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya, dekat sini pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.