
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang giat meneliti keperluan untuk mewujudkan akta yang lebih menyeluruh berkaitan plastik menerusi kajian kebolehlaksanaan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah ini penting kerana dasar plastik negara sedia ada dilihat tidak seragam di peringkat pelaksanaan.
“Kadang kala, di peringkat Persekutuan, dasar kerangka sudah menyeluruh, tetapi apabila tiba di peringkat pelaksanaan oleh Kerajaan Tempatan atau Kerajaan Negeri, tiada pendekatan yang seragam.
“Oleh itu, dalam RMK akan datang, kita akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menggubal sebuah akta plastik yang bersifat menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Michael Mujah Lihan berhubung komitmen
kerajaan untuk mengkaji dasar sedia ada bagi memastikan Malaysia tidak terus menjadi lokasi lambakan sisa plastik dari negara-negara maju.
Dalam perkembangan sama, Nik Nazmi berkata, pihaknya sedang memperketatkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ekoran kementerian itu memainkan peranan penting dalam pengurusan kitar semula sisa plastik.
“Di bawah fasa kedua, kita ingin memperhalusi proses memperketatkan peraturan dan kemungkinan untuk melihat isu plastik secara menyeluruh, bukan hanya mengenai import plastik ke negara kita,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Lim Pay Hen berhubung pilihan kerajaan sama ada mempertimbangkan penggunaan ‘mealworms’ dalam kaedah kitar semula bagi menangani masalah pencemaran.
“Pendekatan kementerian berdasarkan dua prinsip utama, iaitu menekankan usaha ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna serta keperluan untuk mempunyai polisi plastik lestari, memandangkan terdapat jenis plastik yang masih perlu digunakan.
“Oleh itu, kami bercadang untuk memperkenalkan polisi plastik lestari kerana kadar kitar semula di negara kita masih rendah,” ujarnya.