
PERMATANG PAUH: Kekurangan yang ada pada diri seorang pemuda sebagai penghidap Cerebral Palsy tidak menghalangnya untuk mempunyai minat membaca.
Pergerakannya terhad ekoran seluruh badannya lumpuh, namun, keadaan itu tidak sedikit pun membantutkan minat membaca Muhammad Lukman Rosni.
Lebih membanggakan, pemuda berusia 30 tahun itu tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah, namun atas usaha ibunya dan juga berkat kesabaran, Muhammad Lukman mampu membaca.
Menurut ibunya, Sopiah Desa, anaknya itu menjadikan telefon bimbit sebagai bacaan setiap hari.
Katanya, menerusi pembacaan, anaknya dapat mengetahui tentang perkembangan semasa yang berlaku di seluruh dunia.
“Berkat kesabaran anak saya, dia mampu membaca walaupun tidak pernah ke sekolah kerana keadaan fizikalnya.
“Menerusi pembacaan pelbagai sumber, anak saya boleh mengetahui perkembangan semasa, malah turut mengenali Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong,” katanya.
Jelas Sopiah, dia merupakan ibu tunggal sejak 2009 dan bekerja sebagai pengasuh dengan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan berserta bantuan yang diterima.
Kisah Muhammad Lukman itu mendapat perhatian Steven apabila ibunya bertemu dengan Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu dalam satu majlis sumbangan di Masjid Timah, Seberang Jaya, di sini hari ini.
Steven berkata, selepas beliau selesai menyantuni warga kariah, Sopiah menghampirinya dan memberitahu anak tunggalnya ingin berjumpa dengan beliau.
“Sopiah beritahu Muhammad Lukman teringin sangat berjumpa dengan saya sejak mengetahui mengenai saya menerusi pembacaannya.
“Selepas berjumpa dengan Muhammad Lukman, saya berasa terpanggil untuk menghadiahkan dia sebuah tablet bagi membolehkan dia membaca dengan lebih mudah dan selesa.
“Pertemuan dengan pemuda itu mengajar saya pelbagai perkara. Antaranya mengenai sabar, cekal dan bersyukur dengan apa yang ada.
“Muhammad Lukman mungkin tidak boleh bergerak atau bertutur lancar, namun saya belajar banyak perkara darinya. Semoga hidup mereka sentiasa dilimpahi bahagia dab rahmat Tuhan,” kata Steven.
Terdahulu, Steven menyampaikan sumbangan berjumlah RM160,000 kepada 16 masjid dan surau meliputi enam kawasan Parlimen di Pulau Pinang.
Beliau berkata, setiap masjid menerima sumbangan RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti masyarakat dan agama.