
SEREMBAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengiktiraf sumbangan dan komitmen ditunjukkan para atlet dan pegawai yang mengharumkan nama Kolej Komuniti dalam arena sukan di pelbagai peringkat menerusi penganjuran Anugerah Sukan Kolej Komuniti 2024.
Timbalan Pengarah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kamaludin Daud berkata, pengiktirafan tersebut bukan sahaja mampu menjadi dorongan kepada para atlet, malah turut menjadi dorongan motivasi positif kepada seluruh warga Kolej Komuniti amnya.
“Majlis seumpama ini juga dapat menjadi satu wadah khas dalam penyatuan antara warga sukan di Kolej Komuniti,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Sukan Kolej Komuniti 2024.
Turut hadir Pengerusi Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM), Suhairi Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Sukan Kolej Komuniti Melaka Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Anugerah Sukan Kolej Komuniti 2024, Muhammad Sani Che Idris.
Sementara itu, Suhairi berkata sepanjang 2024, Kolej Komuniti Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan, antaranya meraih gelaran Naib Johan Kategori Elit di Grand Final Kejohanan Varsity Sepak Takraw League 2024, Johan Putra B Kejohanan Silat IPT Pahang 204 dan Johan 200 meter Varsity Track & Field 2024.
Katanya, Kolej Komuniti turut berjaya memungut tiga pingat emas di Kejohanan South East Asia Canoe Championship (SEACC) Vietnam 2024 dan pencapaian terbaik Kolej Komuniti Malaysia sepanjang penyertaan Sukan IPT (SUKIPT) dengan meraih pingat sebanyak enam emas, sembilan perak dan satu gangsa yang berlangsung pada 6 hingga 14 September 2024 di Universiti Utara Malaysia.
Muhammad Sani pula berkata, sukan bukan sekadar aktiviti rekreasi, malah merupakan satu medium dalam membentuk sahsiah pelajar agar berdaya saing dan berkualiti.
“Atas dasar inilah, tema ‘Sukan Hebat, Sahsiah Mendunia’ telah dipilih pada majlis kali ini. Majlis anugerah ini juga bertujuan menyuntik motivasi kepada pelajar dan anggota agar terus berusaha dalam akademik dan kokurikulum,” katanya.
Dalam majlis anugerah tersebut, Pengiran Aidil Auf Hajam @ Pg Roslie dari Kolej Komuniti Sandakan dinobatkan sebagai Olahragawan Kolej Komuniti menerusi sukan olahraga manakala, Olahragawati Kolej Komuniti dimenangi Siti Nurfazliyana Mohd Azrol Isham dari Kolej Komuniti Kuala Terengganu menerusi sukan woodball.
Anugerah Ikon Sukan Kolej Komuniti dimenangi Radzwil Ahmad dari Kolej Komuniti Tawau dan Anugerah Pasukan Terbaik dimenangi pasukan sepak takraw.