
SEREMBAN: Kementerian Pendidikan (KPM) mengenal pasti beberapa inisiatif dengan membina sekolah baharu, menggunakan kabin dan penyuraian pelajar ke sekolah berhampiran bagi mengatasi isu kepadatan pelajar.
Ketua Pengarah KPM Azman Adnan berkata, kaedah yang diambil itu susulan peningkatan jumlah murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu terutamanya di Selangor dan Johor.
Beliau berkata, terdapat dua sekolah baharu beroperasi di Selangor, manakala selebihanya akan beroperasi secara berperingkat tahun ini.
“KPM juga membina bangunan kabin di sekolah diperlukan, pembinaan kabin itu tidak mengambil masa lama, hanya tiga bulan.
“Langkah ketiga ialah penyuraian sekolah yang padat kepada sekolah berhampiran, dari semasa ke semasa kita akan tengok kepada keperluan untuk ditambah baik bagi memastikan isu sekolah padat ini dapat ditangani sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Penyerahan Program 1 Juta Buku Tulis Kitar Semula di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Pagi, di sini hari ini.
Azman berkata, sebagai contoh pembinaan bangunan kelas kabinmdi SK Cyberjaya di Selangor antara usaha yang berhasil bagi mengatasi isu kepadatan pelajar di sekolah berkenaan.
“Di Negeri Sembilan, tiada isu kepadatan, setakat ini melibatkan di Selangor dan Johor, kebiasaannya di taman perumahan yang besar dan kawasan industri,” katanya.
Media semalam melaporkan sebanyak 17 buah sekolah baharu dijangka mula beroperasi pada tahun ini, lapan daripadanya merupakan sekolah rendah manakala sembilan lagi sekolah menengah.