
KAJANG: Dua beradik yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah di Taman Harmoni, Seri Kembangan di sini, Khamis lalu, sudah kembali ke pangkuan ibunya, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mereka masing-masing berusia 10 dan 15 tahun terbabit ditemui dalam keadaan selamat di kawasan Gombak.
“Polis menerima maklumat daripada pengadu iaitu ibu mangsa yang memaklumkan anaknya dijumpai pukul 8 malam kelmarin dan sudah mengambil mereka berdua,” katanya dalam kenyataan.
Naazron berkata, dua beradik terbabit sihat dan kini berada dalam jagaan pengadu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu usaha pencarian mangsa.
Terdahulu, media melaporkan, dua beradik dilaporkan hilang selepas keluar rumah di sebuah pangsapuri di Taman Harmoni, Seri Kembangan, pada Khamis lalu.
Polis menerima laporan kehilangan pasangan adik-beradik terbabit daripada ibu mereka pada 2.48 pagi Jumaat.
Nur Syafiqah Elliana Muhammad Rizuan Sebastian berusia 15 tahun, kali terakhir dilihat memakai baju dan seluar trek gelap serta berselipar ungu.
Manakala adik lelakinya Muhammad Adam Mikhail Muhammad Rizuan Sebastian berusia 10 tahun yang turut hilang mempunyai bentuk fizikal badan kecil dan berambut pendek.