
KUALA LUMPUR: Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) dijangka mula beroperasi pada 2028, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, setelah satelit itu mula beroperasi, pembayaran offtake akan dibuat secara berkala berdasarkan jumlah data yang diterima dan diperakui oleh pihak kerajaan.
“Pendekatan ini membolehkan kerajaan memastikan pembayaran yang berpatutan dan sepadan dengan nilai data yang diperoleh, di samping mendorong syarikat mengekalkan standard kualiti yang tinggi dalam penyampaian data satelit.
“Keperluan ini akan diperhalusi dengan lebih terperinci dengan syarikat pembida semasa memuktamadkan dokumen perjanjian konsesi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang ingin tahu status semasa program PSPJN di bawah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan bilakah ia bersedia untuk dilancarkan, susulan UzmaSAT-1, sebuah satelit beresolusi tinggi yang telah dilancarkan oleh kumpulan UZMA Berhad tahun ini.