
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah tidak mahu lagi mendengar isu pemilikan tanah dan pengeluaran lesen perniagaan diseleweng bagi memenuhi keperluan peribadi sebagaimana berlaku di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang sebelum ini.
Baginda bertitahkan semua penjawat awam di negeri ini terutama di PDT serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bertugas dengan penuh tanggungjawab serta menjauhi amalan rasuah serta penyelewengan.
Baginda turut menitahkan ketua jabatan supaya memastikan salah guna kuasa tidak berlaku.
“Kepada pegawai kerajaan dan kakitangan penjawat awam yang bertugas di Selangor ini terutama di pejabat-pejabat daerah dan di PBT, bertugaslah dengan penuh tanggungjawab dan jauhi amalan rasuah serta penyelewengan.
“Beta tidak mahu mendengar lagi pemilikan tanah dan pengeluaran lesen perniagaan diselewengkan bagi memenuhi keperluan peribadi,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan supaya perancangan pembangunan negeri perlu menitik-beratkan program yang memberi manfaat kepada rakyat dan bukan yang boleh memberi keuntungan semata-mata.
“Beta ingin melihat kerajaan beta dan perkhidmatan awam di Selangor ini melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, efisien dan berdaya saing,” titah baginda lagi.