
KUALA LUMPUR: Perbelanjaan sebanyak RM16 juta digunakan dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke 31 buah negara antara November tahun lalu sehingga Februari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zaliha Mustafa, berkata lawatan rasmi perdana menteri itu bertujuan menghadiri mesyuarat berkala dan berjadual yang membabitkan Malaysia sebagai negara anggota dalam pelbagai pertubuhan antarabangsa.
“Ia termasuklah sebagai anggota dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8).
“Kehadiran perdana menteri memainkan peranan penting dalam menunjukkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan kedudukan negara di peringkat global selain sebahagian misi galakan perdagangan dan pelaburan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) untuk meningkatkan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) kepada Perdana Menteri mengenai butiran lawatan ke negara asing dan kos perbelanjaan.
Mengulas lanjut, Zaliha memberitahu pegawai kerajaan yang menyertai lawatan berkenaan akan ditanggung secara berasingan oleh kementerian masing-masing sementara perbelanjaan bagi pegawai keselamatan pula adalah di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kesemua perbelanjaan untuk lawatan rasmi atau kerja perdana menteri adalah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, tanpa sebarang pembiayaan dari dana syarikat swasta.
“Bagi lawatan yang membabitkan penyewaan penerbangan komersial, ini adalah langkah penjimatan oleh kerajaan, dengan mengambil kira jumlah delegasi yang besar sepanjang siri lawatan yang melibatkan beberapa buah negara secara menerus,” jelasnya.
Katanya lagi, perbelanjaan lawatan ke luar negara perdana menteri sentiasa mematuhi tatacara kewangan yang berkuat kuasa, di samping mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah
“ Setiap lawatan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dirancang dengan teliti untuk mencapai nilai tambah yang maksimum dengan mengguna pakai kadar perbelanjaan yang optimum selaras dengan prinsip langkah penjimatan kerajaan,” katanya.