
KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang berkembang pada 5.0 peritus pada suku keempat tahun lalu menunjukkan pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat.
Petujuk pertumbuhan ekonomi seperti kadar pertukaran wang asing, kadar pengangguran, kadar inflasi dan jumlah pelaburan serta perdagangan turut menunjukkan peningkatan yang baik berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini dan tahun depan juga dijangka melebihi paras lima peratus dengan faktor pertumbuhan pelaburan dan perdagangan yang diunjurkan naik kesan hasil Malaysia menjadi pengerusi ASEAN.
“Platform (pengerusi ASEAN) ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh kerajaan untuk menonjolkan Malaysia sebagai satu daripada destinasi pelaburan dan perdagangan yang kukuh di rantau Asia.
“Tahun Melawat Malaysia 2026 juga dijangka membawa kemasukan lebih ramai pelancong asing iaitu melebihi 35 juta orang melibatkan perbelanjaan lebih RM150 bilion.
“Jumlah itu tidak termasuk pelancong domestik yang mampu mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara,” katanya kepada Ceritera.
Pada suku keempat 2024, ekonomi Malaysia berkembang 5.0 peratus melebihi sedikit daripada jangkaan pasaran dan anggaran pendahuluan rasmi sebanyak 4.8 peratus, mencerminkan prestasi lebih baik merentasi segmen pembekal dan permintaan.
Selain itu, eksport barangan dan perkhidmatan juga berkembang manakala pertumbuhan import modal dan pengantara menjadi sederhana.
Bagaimanapun, Dr. Bashir memberitahu, Malaysia tetap berdepan dengan cabaran ekonomi dunia, terutamanya Amerika Syarikat (AS) yang ketika ini ‘rakus’ dalam memperkenalkan banyak dasar sekatan ekonomi yang disifatkan ‘luar biasa’.
Katanya, biarpun dasar sekatan itu dikenakan terhadap kuasa besar, namun Malaysia tetap boleh terkena tempias.
“Sehubungan itu, Malaysia perlu sentiasa peka dengan perubahan ekonomi dunia bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara tidak terkesan,” ujarnya.
Selain itu, Dr. Bashir menjelaskan, usaha ke arah pertumbuhan ekonomi terus berkembang merupakan langkah berterusan, menyaksikan masih banyak ruang dan peluang yang perlu diterokai.
“Sebagai contoh, Malaysia perlu menumpukan lebih banyak peluang yang boleh dicapai menerusi pelaksanaan zon ekonomi istimewa di Johor yang turut melibatkan Singapura.
“Pelaksanaan itu perlu dikukuhkan dengan operasi yang seragam antara kedua-dua negara pada kadar segera supaya hasil ekonomi dapat dinikmati bersama dalam jangka pendek,” katanya.
Sementara itu, Dr Bashir turut memberitahu, sektor pemakanan negara juga menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi.
Katanya, susun atur penghasilan bekalan makanan bagi memenuhi permintaan domestik boleh mengurangkan kadar kebergantungan negara terhadap bekalan luar.
“Bila kita kurang bergantung, duit juga tidak banyak keluar, jadi ekonomi negara dapat berkembang dengan lebih baik.
“Kita juga jangan lupa untuk perkasa sektor perindustrian berat dan kecerdasan buatan (AI) dalam bentuk perkhidmatan supaya semua pihak berkaitan memperoleh manfaat yang besar,” jelasnya.