KUB, CI Holdings rangkul anugerah CG 2019


KUALA LUMPUR: KUB Malaysia (KUB) dan C.I. Holdings Berhad (CI Holdings) memenangi Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN 2019 (CG 2019) yang diiktiraf oleh pengawasan Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG).

KUB memenangi tempat pertama bagi kategori Excellence Award For CG Disclosure (Nilai Pasaran antara RM100 juta dan RM300 juta), manakala CI Holdings kategori Excellence Award For Long Term Value Creation.

MSWG telah melaksanakan penilaian tadbir urus korporat pada semua syarikat senaraian awam (PLC), tidak termasuk syarikat yang tersenarai di LEAP Market serta syarikat PN17 dan GN3.

Penilaian dilakukan berdasarkan metodologi ASEAN CG Scorecard dengan menilai 866 syarikat. Setakat ini, MSWG giat memantau 300 syarikat yang disenaraikan.

Ketua Pegawai Eksekutif MSWG, Devaneson Evanson berkata, ASEAN CG Scorecard mengambil kira prinsip Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), sebagai penanda aras utama yang merangkumi lima bidang iaitu hak pemegang saham, perlakuan adil terhadap pemegang saham, peranan pihak berkepentingan, pendedahan dan ketelusan serta tanggungjawab lembaga pengarah.

“Penilaian CG 2019 dilakukan berdasarkan laporan tahunan terkini syarikat senaraian awam (PLC), laporan CG dan laporan keberlanjutan yang diterbitkan sebelum 31 Julai 2019.

“Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG), CG Monitor dan Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia juga telah menyumbang ke arah peningkatan ekosistem tadbir urus korporat. Secara kolektif, peningkatan CG telah meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pasaran mo­dal,” katanya di sini semalam.

Skor purata 100 PLC telah meningkat dari tahun ke tahun daripada 62.98 mata pada 2015 kepada 74.84 mata tahun lalu.

KUB, syarikat yang menjalankan perniagaan gas cecair petroleum (LPG), melaporkan prestasi yang memberangsangkan pada tahun kewangan 2020, pulih dari kerugian tahun lalu.

KUB kini dalam rancangan penyusunan semula, melupuskan aset bukan terasnya dalam memperkukuh aset utamanya LPG, melalui pelaburan baharu.

SUMBER – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *