‘Lembah Silikon’ Selangor Golden Triangle pusat masa depan


Selangor Golden Triangle merupakan sebahagian daripada Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam 2035 yang menggariskan penggunaan dan pembangunan tanah dari 2021 sehingga 2035.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pada tahun lalu pembangunan pesat di kawasan i-City Selangor Golden Triangle ini mampu mengubah ibu negeri berkenaan kepada tiang utama Segi Tiga emas tersebut dengan menawarkan peluang ekonomi yang cemerlang.

Selangor ialah kuasa ekonomi Malaysia dan ia merupakan negeri yang paling progresif dan membangun dengan menyumbang hampir 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Menurut Amirudin, hasil pelaburan di Selangor pada tahun 2018 dijangkakan akan melepasi RM14 bilion menjadikannya kedua tertinggi untuk sedekad lalu dan dua kali ganda daripada sasaran RM7 bilion yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Perancangan baharu i-City Selangor Golden Triangle adalah termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor (UNISEL). Selain menjadi pusat pendiidkan, ia turut menjadi hab bagi teknologi tinggi, perubatan, komersial dan rekreasi.

“Pelajar UiTM dan UNISEL akan menerima manfaat besar daripada pembangunan ini kerana kewujudan peluang pekerjaan buat mereka pada masa hadapan. Sekiranya pelajar menetap di Selangor, mereka boleh bekerja dalam sektor kejuruteraan dan teknologi informasi (IT) bersama firma tempatan serta syarikat multinasional (MNC) selepas menamatkan pengajian,” jelas konsultan berkenaan.

“Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam 2035 ini mencipta satu ekosistem supaya penduduk lebih bahagia, sihat dan kaya serta disokong oleh infrastruktur digital yang boleh didapati di mana-mana. Ia mempunyai sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai Jantung Digital ASEAN. I-City Selangor Golden Triangle pula akan menjadi Jantung Digital Shah Alam.

i-City Selangor Golden Triangle akan menyediakan rakyat Malaysia dengan akses kepada kebolehan, peralatan dan bagaimana untuk mengambil lompatan digital termasuk memudahkan latihan kemahiran digital baharu serta kerjaya sepadan menyediakan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan ” tambahnya.

“Anda boleh menjangkakan kenaikan harga tanah dan harta tanah di kawasan-kawasan berkenaan dalam beberapa tahun mendatang. Pemilik harta tanah komersial dan industri akan memperoleh banyak manfaat daripada pelan MBSA ini,” ujar seorang konsultan hartanah.

Timbalan Pengarah Urusan Jones Lang Wootton Malaysia iaitu Prem Kumar berkata pihak pemaju sudah mula membeli tanah di Shah Alam dalam jangkaan pertumbuhan di zon ekonomi berkenaan.

“Terdapat banyak pihak pemaju sudah mula membeli tanah selepas melihat potensi dan permintaan yang meningkat terhadap komersial serta tempat tinggal di Shah Alam pada masa hadapan.

Walaupun keputusan pihak pemaju untuk membeli tanah pada masa ini menjadi tanda tanya kepada orang ramai, kita harus ingat hartanah ialah permainan jangka sederhana ke panjang. Pihak pemaju membeli hartanah sekarang untuk memanfaatkan potensi sepenuhnya pada masa hadapan,” ujarnya kepada NST Property.

Kumar turut menjelaskan bahawa pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu menyimpan hasrat untuk melihat masa hadapan pergi seiring dengan pertumbuhan dan kemampanan bandar.

Tambahnya, “Pengasas i-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong mempunyai pandangan jauh untuk membina bandar pintar yang boleh menarik minat pelaburan langsung tempatan dan asing.

Semua pusat data yang diletakkan oleh pihak pemaju untuk i-City beberapa tahun lalu telah menempatkan mereka di posisi yang lebih tinggi daripada yang lain.”

Datuk Hasan Azhari Haji Idris (kiri) dan Pengasas i-Berhad, Tan Sri LIm KIm Hong

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Haji Idris berkata Selangor Golden Triangle mampu menjadi contoh atau model bagi pembangunan kawasan-kawasan lain di Selangor.

Invest Selangor adalah salah satu syarikat paling awal beroperasi di sana dengan sudah bertapak lebih 10 tahun di Selangor Golden Triangle.

Datuk Hasan berkata Selangor Golden Triangle yang sebelum ini dikenali sebagai i-City kini menjadi penanda aras kepada pembangunan berteraskan teknologi di Selangor.

Beliau turut berkata Selangor Golden Triangle mempunyai segala fasiliti dan infrastruktur lengkap bagi menyokong keperluan syarikat-syarikat berteraskan teknologi di negeri ini.

“Infrastruktur adalah elemen terpenting untuk menyokong keperluan syarikat teknologi dan sekali gus dapat menarik minat lebih banyak pelabur asing datang melabur,” jelasnya.

Menurut beliau, Invest Selangor menyokong usaha I-Berhad untuk memenuhi jangkaan daripada para pelabur yang ingin memindahkan pejabat mereka ke Selangor Golden Triangle pada masa hadapan.

Bukan sahaja lokasi Selangor Golden Triangle ini cukup strategik kerana ia turut boleh diakses melalui beberapa lebuh raya utama lain seperti:

i) Lebuhraya Shah Alam (KESAS)

ii) Lebuhraya Kemuning-Shah Alam

iii) Lebuhraya Pantai Barat

iv) Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE)

v) Lebuhraya Koridor Guthrie

vi) Lebuhraya Shah Alam-Puchong

vii) Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)

viii) Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE)

Selain itu, anda boleh juga menggunakan pengangkutan awam iaitu LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama ke Klang untuk pergi ke Selangor Golden Triangle dengan turun di stesen i-City.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *