KUB Malaysia tumpu LPG 2021


KUALA LUMPUR: KUB Malaysia Berhad (KUB) komited dalam memfokuskan segmen gas petroleum cecair (LPG) untuk keluar daripada perniagaan perladangan menjelang 2021.

Langkah tersebut bertujuan meningkatkan seluruh rantaian nilai bagi segmen LPG.

Pengerusi KUB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, KUB sedang membuat perubahan ke arah itu untuk me­ningkatkan rantai nilai melalui perniagaan LPG.

“Syarikat dalam proses menyelesaikan perjanjian dengan BB Energy (Asia) Pte Ltd. (BB Energy) untuk bekerjasama bagi membolehkan KUB mengimport LPG secara terus daripada sumbernya.

“Namun, keputusan bagi kerjasama itu akan dimuktamadkan beberapa bulan lagi,” kata­nya kepada pemberita kelmarin.

Ujarnya, syarikat akan me­labur sebanyak RM250 juta untuk membina terminal baharu penyimpanan LPG dengan kapasiti hingga 25,000 tan metrik bagi membolehkan kumpulan itu membeli dan mengimport LPG terus dari sumber seperti LPG di Singapura.

“Dahulu, kami hanya terlibat dalam perniagaan hilir, dengan membuat pembotolan untuk LPG bagi pelanggan industri, melalui Solar Gas.

“Untuk perniagaan hiliran, kami sedang berunding dengan terminal LPG bertekanan lain untuk meningkatkan kapasiti kami. Syarikat hanya mempunyai dua ruang penyimpanan LPG bertekanan yang mempunyai kapasiti 3,000 tan metrik,” katanya.

Kata beliau, terminal pendingin LPG, yang akan dibina di Westports di Pelabuhan Klang, adalah kerjasama bersama dengan BB Energy, sebuah syarikat perdagangan tenaga multinasional di Singapura.

Jelasnya, KUB telah melupuskan aset bukan teras termasuk ladang, tempat pembuangan sampah dan hartanah bagi memfokus kepada perniagaan LPG.

“Ada dua hingga tiga aset lagi yang kita miliki dalam proses untuk dilupuskan. Secara kese­luruhannya, kita akan mempunyai lebih daripada RM400 juta setelah semuanya selesai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KUB, Ahmed Fairuz Abdul Aziz berkata, antara aset bukan teras yang masih dimiliki kumpulan itu adalah ladang di Sabah dan Sarawak seluas kira-kira 6,100 hektar.

“Ini bagi menyelesaikan pelupusan dua ladang kelapa sawit di Kluang menjelang suku pertama tahun depan.

“Bagi perniagaan perlada­ngan, kami telah menjual ladang di Johor dengan harga RM158 juta. Kami masih mempunyai aset di Sabah dan Sarawak, yang juga kami rencanakan untuk dilupuskan tahun depan,” katanya.

Pada Jun lalu, KUB mengumumkan bahawa Kumpulan telah menjual Kahang Estate dan Sungai Yong Estate, dengan keluasan 2,656 hektar kepada Beradin Plantation Sdn. Bhd.

Kedua-dua ladang tersebut dimiliki melalui unit milik penuh KUB Agro Holdings Sdn. Bhd.

SUMBER – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *