SEPANG: Kumpulan pertama 347 jemaah haji Malaysia kendalian Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) selamat tiba di tanah air dari Jeddah.
Kesemua jemaah yang menaiki pesawat Saudia Airlines tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 12.35 pagi tadi.
Ketibaan para jemaah disambut Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris dan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.

Menurut Ida Riswana, penerbangan kumpulan kedua melibatkan seramai 226 jemaah haji akan pulang ke tanah air secara berperingkat sehingga 10 Julai ini.
Beliau berkata, pelaksanaan operasi haji Andalusia pada tahun ini berjalan lancar apabila kerajaan Arab Saudi memudahkan urusan para jemaah.
“Perjalanan mereka pada hari wukuf lebih teratur mungkin disebabkan kurangnya jemaah. Daripada segi layanan yang diberikan muassasah di sana juga lebih baik daripada tahun-tahun sebelum.
“Alhamdulillah, saya rasa tahun ini cuaca di sana tidak terlalu panas. Jemaah semuanya mengikut peraturan-peraturan ditetapkan terutamanya dari segi waktu dan cuaca,” katanya kepada media ketika ditemui di sini.
Katanya, peraturan berkaitan ibadah haji kali ini lebih ketat berbanding beberapa tahun sebelum ini yang mana Kerajaan Arab Saudi memastikan tiada sesiapa dibenarkan masuk tanpa visa haji yang sah.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pakej haji yang menawarkan harga murah.
“Pada pandangan saya, penipuan akan sentiasa berlaku selagi ada permintaan orang yang nak pergi haji tanpa melalui proses yang betul, iaitu melalui Lembaga Tabung Haji (TH),” tegasnya.
