IPOH: Dekan dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) perlu memastikan semua penuntut yang cedera dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik baru-baru ini, tidak menangguhkan pengajian pada semester ini.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata penuntut yang masih dirawat di hospital atau rumah itu perlu dibantu dengan sebaik-baiknya dalam urusan tugasan akademik, supaya tiada yang tercicir atau ketinggalan.
“Mereka berada dalam kesakitan, kita ada sistem pembelajaran yang fleksibel (untuk) memastikan penuntut ini tidak tertinggal (dalam pengajian),” katanya pada sesi taklimat khas bersama warga UPSI secara dalam talian, hari ini.
Beliau berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, menitahkan supaya pelajar terbabit diberi bantuan supaya tidak ketinggalan dalam pengajian, selain pesanan sama diberi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Md Amin juga mahukan kebajikan, perhatian dan sokongan sewajarnya diberi kepada penuntut UPSI yang turut terkesan atau membantu rakan mereka terbabit dalam kemalangan itu secara sukarela.
“Bayangkan ketika mereka membuat pembentangan, daripada lima nama (pelajar terbabit tugasan) hanya tiga berada di kelas (atau) bilik kolej.
“Daripada empat sahabat hanya tinggal berdua (kerana rakan lain terbabit nahas). Saya mohon semua untuk membantu anak-anak ini melalui saat sukar,” katanya.
Dalam sesi taklimat itu, Md Amin mengalu-alukan semua menghadiri Majlis Tahlil Perdana mangsa kemalangan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di Tanjung Malim petang ini.
Ia turut membabitkan penyerahan sumbangan pelbagai agensi bagi membantu mereka yang terbabit.
