
KUALA LUMPUR: Lebih 17 negara mengemukakan tawaran bagi projek perolehan Kapal Sokongan Logistik Pelbagai Peranan (MRSS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bakal dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain berkata, projek berkenaan telah mendapat kelulusan kerajaan dan kini berada pada peringkat penilaian serta pengesahan spesifikasi sebelum keputusan dimuktamadkan.
Katanya, TLDM sedang meneliti setiap cadangan yang diterima sebelum memanggil pengeluar berkaitan bagi sesi penilaian akhir.
“Projek MRSS sudah diluluskan di bawah RMK13 dan ketika ini kita sedang menerima serta menilai cadangan daripada pengeluar. Selepas proses penilaian dan pengesahan selesai, kita akan memanggil mereka bagi memuktamadkan keputusan,” katanya pada sidang akhbar sempena sambutan Hari Ulang Tahun Ke-53 Kumpulan Pertama Kapal Kelas Perdana Combatantte di sini hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan projek berkenaan dijangka bermula dalam tempoh RMK13 dan berkemungkinan diteruskan sehingga RMK14.
Katanya, berdasarkan pelan transformasi TLDM 15-to-5, sebanyak tiga buah kapal MRSS dirancang diperoleh dengan syarat sekurang-kurangnya sebuah daripadanya dibina di dalam negara bagi memperkukuhkan industri pembinaan kapal tempatan.
“Ini merupakan antara syarat yang kita tetapkan bagi memastikan keupayaan industri tempatan terus diperkasakan,” katanya.
Zulhelmy berkata, antara negara yang mengemukakan tawaran ialah Rusia, China, Belanda, Turkiye, Itali dan Korea Selatan, selain beberapa negara lain.
Ujarnya, Kementerian Pertahanan cenderung melaksanakan perolehan itu menerusi kaedah kerajaan dengan kerajaan (G2G), sebagaimana yang digunakan dalam beberapa projek pertahanan sebelum ini.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan cadangan perolehan tiga kapal MRSS untuk TLDM telah diluluskan secara prinsip di bawah RMK13.
Perolehan itu merupakan sebahagian daripada pelan transformasi TLDM 15-to-5 bagi meningkatkan keupayaan armada dalam operasi logistik, bantuan kemanusiaan, pengurusan bencana dan sokongan operasi ketenteraan.






