
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memandu secara melulu sebuah Perodua Kembara di Lebuh Raya Persekutuan seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Turut ditahan ialah isterinya dalam operasi yang dijalankan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 9 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsuddin Mamat berkata, pasangan warga tempatan berusia lingkungan 50-an itu berjaya dikesan hasil siasatan polis.
Menurutnya, Mahkamah Majistret membenarkan lelaki terbabit direman selama empat hari bermula hari ini hingga 5 Julai bagi membantu siasatan.
“Namun, isterinya dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapannya selesai diambil.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas sehingga boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Sebelum ini, beberapa rakaman video tular memaparkan sebuah Perodua Kembara dipandu secara berbahaya di Lebuh Raya Persekutuan sebelum seorang lelaki berbaju merah yang dipercayai pemandunya turut dirakam mengeluarkan kata-kata kesat.







