
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan sebanyak RM64.07 juta bayaran insentif tunai kepada 4,025 majikan sektor swasta yang menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) setakat 5 Jun lalu, sekali gus memberi manfaat kepada 51,363 pekerja tempatan.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan, inisiatif di bawah kerangka Ekonomi MADANI itu bertujuan memperkasakan pekerja mahir melalui peningkatan tangga gaji secara progresif selain menggalakkan lebih banyak majikan melaksanakan struktur gaji yang lebih kompetitif.
Menurut kementerian itu, sektor perdagangan borong dan runcit termasuk pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal merekodkan penyertaan tertinggi sebanyak 26.7 peratus daripada keseluruhan majikan yang menyertai DGP.
Katanya, penyertaan itu diikuti sektor pembuatan sebanyak 15.7 peratus, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal (11.1 peratus), pendidikan (7.4 peratus) serta penginapan dan perkhidmatan makanan (6.9 peratus).
“Dari aspek saiz majikan pula, syarikat kecil merangkumi 50.2 peratus daripada jumlah majikan yang membuat tuntutan. Syarikat besar dan sederhana masing-masing mencatatkan 18.4 peratus, diikuti syarikat mikro sebanyak 13.1 peratus,” menurut KESUMA dalam jawapan bertulis kepada soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) di Dewan Rakyat.
Manndzri meminta kementerian menjelaskan status terkini pematuhan sektor swasta terhadap pelaksanaan DGP serta keberkesanan insentif tunai berkenaan dalam meningkatkan tangga gaji pekerja mahir tempatan.
Menurut KESUMA, pelaksanaan insentif itu menunjukkan impak positif terhadap peningkatan pendapatan pekerja mahir, khususnya dalam kumpulan profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu yang mewakili 45.9 peratus daripada keseluruhan pekerja yang menerima manfaat di bawah dasar tersebut.
Bagi kumpulan profesional, median gaji pokok meningkat RM350 daripada RM2,900 kepada RM3,250 atau kenaikan 12.1 peratus, manakala purata gaji pokok meningkat RM364.36 kepada RM3,295.10 daripada RM2,930.74.
Bagi kumpulan juruteknik dan profesional bersekutu pula, median gaji pokok meningkat RM250 daripada RM2,350 kepada RM2,600 atau 10.6 peratus, manakala purata gaji pokok meningkat RM294.38 daripada RM2,557.35 kepada RM2,851.72.





