
KUALA LUMPUR : Penyertaan rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin adalah atas kapasiti dan pilihan masing-masing.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang berkata, kerajaan bagaimanapun akan mempertimbangkan bentuk bantuan yang sesuai sekiranya timbul sebarang isu atau kesulitan sepanjang pelaksanaan misi berkenaan.
Menurut beliau, penglibatan individu dalam GSF didorong oleh komitmen peribadi terhadap perjuangan rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
“Keputusan menyertai GSF ini adalah keputusan berlandaskan prinsip individu tersebut yang ingin memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan Palestin dan juga Gaza. Maka, penyertaan mereka dalam program GSF ini adalah keputusan peribadi.
“Kita (kerajaan) ada menyumbangkan bantuan sekiranya permasalahan akan timbul. Ini adalah kaedah dan konsistensi kita tekankan.
“Jika sekiranya berlaku pelayaran semula oleh GSF sememangnya kita memberi pandangan yang lebih baik seperti apa yang saya jawab sebentar tadi bahawa pintu Rafah telah dibuka, maka elok kita hantar bantuan supaya ia dapat dirasai,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang membangkitkan sama ada kerajaan akan menggalakkan rakyat menyertai GSF pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, kerajaan sentiasa menyokong pelbagai inisiatif yang bertujuan membantu usaha pemulihan dan pembangunan semula Gaza.
Menurut beliau, Malaysia turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan termasuk bekalan makanan, ubat-ubatan, lampu solar serta keperluan asas lain bagi meringankan beban penduduk yang terjejas.
Pada 25 Mei lalu, semua rakyat Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 ke Gaza dilaporkan selamat kembali ke tanah air.





