
PUTRAJAYA : Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan sabitan dan hukuman bagi tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion yang dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan, ditangguhkan ke September depan.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli, yang menetapkan rayuan berkenaan didengar selama 16 hari iaitu pada 1 hingga 4 September, 8 hingga 11 September serta 21 hingga 30 September.
Penetapan tarikh baharu itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan penangguhan yang dikemukakan peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh.
Menurut Azhahari Kamal, mahkamah mengambil kira surat bertarikh Oktober 2024 yang membenarkan rayuan utama ditangguhkan sehingga semua proses perundangan berkaitan, termasuk permohonan semakan, selesai sepenuhnya.
Beliau turut mengingatkan kes berkenaan telah berlanjutan sejak 2022 dan menegaskan mahkamah tidak akan melayan sebarang permohonan lanjut yang boleh menjejaskan tarikh pendengaran baharu yang telah ditetapkan.
“Bagaimanapun, panel hakim menegaskan tiada lagi ruang untuk sebarang penangguhan selepas ini memandangkan kes tersebut telah berlarutan sejak 2022.
“Mahkamah mengingatkan, rayuan itu mesti bermula pada 1 September dan prosiding akan diteruskan mengikut jadual tanpa sebarang penangguhan di tengah-tengah perbicaraan,” katanya yang bersidang bersama Hakim, Datuk Dr. Choo Kah Sing dan K. Muniandy.
Beliau berkata, prosiding akan diteruskan pada hari Jumaat bagi memastikan rayuan dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada 30 September.
Dalam prosiding ini, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai. Dalam prosiding ini, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan rayuan berkenaan didengar selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Julai.
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta serta dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.
Suapan itu didakwa sebagai balasan kerana membantu syarikat terbabit memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Seri Perdana, Putrajaya, serta di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan sebuah pusat beli-belah di Jalan Putra, Kuala Lumpur antara Mac 2016 hingga 7 September 2017.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 1 September 2022, Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan mensabitkan Rosmah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan serta denda RM970 juta.
Mahkamah turut memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara tambahan selama 10 tahun sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan. Namun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Rosmah sebelum ini memfailkan permohonan untuk menggugurkan Mohamed Zaini daripada mendengar kes berkenaan dengan alasan draf penghakiman didakwa telah disediakan pihak ketiga dan tersebar lebih awal sebelum keputusan rasmi diumumkan.
Dakwaan itu merujuk kepada dua laporan portal yang disiarkan pada 26 Ogos 2022 berkaitan keputusan kes berkenaan, beberapa hari sebelum penghakiman dibacakan pada 1 September 2022.
Rosmah turut mendakwa Mohamed Zaini, yang kini berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, melanggar Kod Etika Hakim 2009 susulan dakwaan bahawa draf penghakiman yang bocor itu disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, pada 3 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir beliau untuk menggugurkan Mohamed Zaini selepas memutuskan tiada sebarang kekhilafan yang memerlukan campur tangan mahkamah.







