
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bukanlah projek mega untuk bermegah-megah sebaliknya dibangunkan bagi memenuhi keperluan rakyat, selain menyifatkan Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, tidak memahami tujuan sebenar pelaksanaannya apabila mengecilkan skop projek atas alasan penjimatan kos.
Baginda bertitah, ketika Kementerian Kewangan diterajui Guan Eng bersama penasihatnya, Tony Pua, beberapa komponen projek dikurangkan termasuk saiz stesen, jumlah gerabak dan pembatalan lima stesen yang dicadangkan, walaupun projek itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Beta ingin menegaskan ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ia adalah projek untuk kepentingan serta kesejahteraan rakyat beta,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Sultan Sharafuddin turut menegaskan baginda tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan mendakwa kejayaan pelaksanaan LRT3 adalah hasil usaha mereka semata-mata kerana projek tersebut merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana menerima cadangan baginda pada 2015 supaya sistem rel dibina bagi menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur selepas mengambil kira rungutan rakyat, khususnya suri rumah yang mengadu suami mereka sering pulang lewat akibat kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Persekutuan.
Menurut baginda, pentadbiran Najib turut memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada 2018 sebagai langkah segera mengurangkan kesesakan.
Menurut baginda, projek LRT3 bagaimanapun tergendala lebih 18 bulan susulan pertukaran kerajaan pada 2018 sebelum berdepan kelewatan tambahan selama 19 bulan akibat pandemik Covid-19 sehingga 2021.
Baginda bertitah, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kerajaan bersetuju meneruskan projek berkenaan dengan mengembalikan semula lima stesen yang sebelum ini dibatalkan, selain merancang pembinaan rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Anwar kerana mengarahkan supaya tiada lagi halangan terhadap pelaksanaan projek tersebut.
Sultan Sharafuddin berharap pembukaan LRT3 mampu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya serta menyediakan pilihan pengangkutan awam yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada penduduk Klang, Shah Alam dan kawasan sekitarnya yang berulang-alik ke Kuala Lumpur.
Baginda turut berharap Prasarana menyelenggara kemudahan itu dengan baik agar terus beroperasi dengan lancar, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.




