
SEPANG: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai venue pilihan bagi perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) apabila kontrak penganjuran di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilanjutkan selama lima tahun lagi sehingga 2031.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kontrak baharu yang berkuat kuasa bermula tahun depan itu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
Beliau berkata, ia sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan memastikan Malaysia terus kekal sebagai antara hab utama sukan permotoran dunia.
“Pembaharuan ini bukan sekadar lanjutan kepada sebuah acara sukan antarabangsa tetapi merupakan keputusan strategik kerajaan bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan dan berdaya saing sebagai hab sukan permotoran dunia,” katanya kepada pemberita pada sidang media pengumuman itu di SIC hari ini.
Mohammed Taufiq berkata, lanjutan kontrak tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan ekosistem sukan permotoran negara, di samping menjana peluang ekonomi menerusi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
“MotoGP Malaysia merupakan aset dan pelaburan strategik negara yang memberi manfaat kepada sektor pelancongan, hospitaliti, pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kajian impak ekonomi menunjukkan penganjurannya pada 2024 telah menjana kira-kira RM694 juta impak ekonomi keseluruhan, mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan serta menghasilkan pulangan pelaburan sekitar 6.3 kali ganda kepada negara,” katanya.
Katanya, selain memberi impak positif kepada sektor pelancongan, penganjuran MotoGP Malaysia turut menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan, kepakaran teknikal dan penyertaan dalam industri sukan permotoran yang lebih meluas.







