
KUALA LUMPUR: Sejumlah 5,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata statistik itu antara lain melibatkan kesalahan buli fizikal, buli lisan, buli bukan lisan serta buli siber.
Anwar berkata bagaimanapun, angka sebenar mungkin lebih besar, mengambil kira sekiranya terdapat kes buli dan salah laku disiplin di pusat pendidikan yang tidak dilaporkan berikutan ada pihak pentadbiran yang mahu menjaga imej sekolah masing-masing.
“Masalahnya kadang-kadang dilindungi (pelaku) kerana tak mahu imej sekolah itu buruk, mahu jaga reputasi sekolah, beri laporan yang baik-baik sahaja hakikatnya anak-anak di sekolah itu berasa terdera, tertekan (apabila) masuk ke sekolah.
“Jadi jangan sembunyikan, kerana yang rosak anak ini, pendekatan tak betul. Saya setuju dalam kes-kes seperti ini, apa-apa jua pun alasan, tindakan harus diambil secara cepat dan tegas,” katanya pada Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mengenai faktor kes yang mengancam keselamatan pelajar masih berlaku di sekolah walaupun pelbagai garis panduan dan prosedur keselamatan telah ditetapkan.
Perdana Menteri menyeru supaya ibu bapa bersama-sama melaksanakan peranan dan memikul tanggungjawab dalam memantau aspek pendidikan serta keselamatan anak-anak dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada warga pendidik.
“Soal pemantauan, asrama, audit keselamatan, kapasiti penyeliaan murid, kaunseling, isu-isu mental, inisiatif kesejahteraan, itu semua telah dilakukan (Kementerian Pendidikan). Adakah mencukupi? Saya fikir belum, kerana hal ini begitu mencabar dan perlu melibatkan semua pihak.
“Mengapa harus ada ibu bapa yang hampir tidak ambil tahu langsung kebajikan anak-anak mereka? Kalau di asrama ada kawalan yang lebih ketat, tetapi tanpa kesedaran ibu bapa, bagaimana boleh ibu bapa sampai tidak ambil tahu sama ada anak balik (rumah) atau tidak sampai 11, 12 malam?,” kata beliau.
Beliau berkata berdasarkan rekod beberapa kes buli yang dilaporkan, hampir semua pelajar yang terlibat meluahkan kekecewaan kerana tidak dilayan baik oleh ibu bapa.
Mengenai soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) sama ada kerajaan bersedia melaksanakan syariat Islam bagi mengenakan hukuman terhadap kes buli, Anwar berkata pelaksanaan undang-undang secara lebih bersepadu sememangnya perlu dilakukan dalam usaha menangani isu kes buli.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan secara prinsip telah meluluskan usul untuk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah di negara ini.
“Perkara itu seterusnya akan dirujuk semula kepada Majlis Raja-Raja yang dijadual bersidang dalam tempoh beberapa minggu lagi,” katanya. – BERNAMA





