
KUALA LUMPUR: Laporan dan pandangan kalangan ahli akademik mengenai pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan dibawa kepada Jemaah Menteri, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata kerajaan mengalu-alukan penglibatan para ahli akademik untuk menilai dan memberikan kritikan membina terhadap pelaksanaan rancangan pembangunan negara itu.
“Saya berpandangan semua input, saranan, pandangan, kritikan membina yang dapat diberikan oleh rakan-rakan akademik ini penting untuk diteliti bukan hanya oleh Kementerian Ekonomi malah juga setiap kementerian.
“Jadi saya mengalu-alukan usaha daripada pihak INPUMA (Institut Polisi Awam dan Pengurusan Universiti Malaya), Universiti Malaya, dan saya minta supaya jika boleh mereka menyediakan sedikit laporan dan saya dapat panjangkan kepada Jemaah Menteri kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Wacana Awam Rancangan Malaysia ke-13: Hala Tuju dan Cabaran anjuran INPUMA di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata pelaksanaan projek RMK13 perlu memastikan aspek tadbir urus yang baik dan bebas rasuah bagi menjamin peruntukan digunakan sebaiknya untuk rakyat.
“Dalam ucapan, saya menitipkan mesej bahawa kita perlu pastikan (perkara itu) kerana setiap Rancangan Malaysia dilaksanakan dengan menggunakan duit rakyat, maka pelaksanaan projek RMK13 terutamanya perlu pastikan aspek tadbir urusnya betul, tidak berlaku apa-apa salah guna, dan juga aspek kleptokrasi ataupun rasuah dan sebagainya,” katanya.
Mengenai pembentangan Belanjawan 2027 yang dijadual Jumaat ini, Fahmi berkata bagi pihak Kementerian Komunikasi, beliau berharap Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan cadangan fokus baharu berkaitan pembangunan ekonomi jingga (atau dikenali juga sebagai ekonomi kreatif).
“Ini memandangkan kita telah membentuk Majlis Ekonomi Jingga yang akan meneliti pembangunan ekonomi kreatif yang menyentuh filem, animasi, muzik serta seni dan budaya.
“Jadi memang bagi pihak Kementerian Komunikasi ada beberapa perkara yang kita ketengahkan dan kita berharap dapat diberi pertimbangan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Persidangan Wacana Awam Rancangan Malaysia ke-13: Hala Tuju dan Cabaran anjuran INPUMA itu bertujuan mendapatkan perspektif pelbagai pihak berkepentingan berkaitan isu semasa ekonomi dan sosial yang memberikan kesan kepada negara dan rakyat, di samping mengenal pasti kebimbangan dan keperluan yang perlu diberikan perhatian dalam pelaksanaan RMK13. – BERNAMA





