
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini bagi pertuduhan membunuh dengan membakar ibu kepada tiga anak menggunakan petrol, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Firdaus Baktehir, 29, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Syarah Nurul Masturah Abdullah, 31, di sebuah rumah di Kampung Baru, Sri Gading, jam 5 petang, 8 Mac lalu.
Dakwaaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau pemenjaraan hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 24 April ini bagi sebutan semula kes untuk laporan forensik.
Media sebelum ini melaporkan, bomba menerima laporan kebakaran sebuah rumah dengan dua individu iaitu mangsa dan tertuduh melecur.
Siasatan awal polis mendapati, kebakaran berlaku apabila tertuduh menyimbah petrol sebelum menyalakan api dengan pemetik api.
Kebakaran itu menyebabkan mangsa melecur 74 peratus manakala tertuduh 13.5 peratus dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Mangsa disahkan meninggal dunia pada 9.54 malam keesokan harinya.