
KUALA LUMPUR: Dijangkakan sehingga 2.2 juta kenderaan sehari akan memasuki Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sementara mencapai sehingga 70,000 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada sambutan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, berkata jangkaan kesesakan itu akan bermula pada tiga hari sebelum dan selepas Aidilfitri iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding hari-hari biasa.
Katanya, beberapa langkah strategi diadakan bagi melancarkan perjalanan antaranya pengaktifan laluan pintar, ‘Smartlane’ di 28 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya membabitkan wilayah tengah utara dan selatan di lokasi kritikal.
“Sebanyak tiga lokasi baharu laluan Smartlane pada musim perayaan kali ini ditambah di kawasan yang dijangka sesak iaitu di Lingkaran Putrajaya (arah timur), Pedas Linggi-Senawang (arah utara) dan Tangkak-Jasin( arah utara).
“Smartlane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang dan ia boleh dikenal pasti melalui paparan lampu hijau berkelip serta papan tanda pemberitahuan yang dipasang di lokasi-lokasi tertentu.
“Had laju pengguna lebuh raya adalah sekitar 60 kilometer sejam (km/j) dan dilarang memandu di lorong kecemasan di lokasi lain yang tidak diaktifkan,” katanya ketika sidang media persediaan PLUS menjelang musim perayaan Aidilfitri.
Tambah Zakaria, kerja-kerja di lebuh raya utama akan dihentikan sementara bermula 27 Mac hingga 7 April kecuali jika ada kerja-kerja kecemasan yang perlu diperbaiki segera.
“Larangan kenderaan berat pula akan dikenakan pada dua hari sebelum (29 dan 30 Mac) dan selepas (5 dan 6 April) musim perayaan yang disifatkan banyak membantu kelancaran trafik di kawasan yang sesak, ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, konsensasi lebuh raya itu akan menempatkan lebih 5,000 petugas ekosistem PLUS antaranya 1,471 kakitangan di plaza tol, 60 petugas di pusat pemantauan trafik PLUS dan LPT2, 413 anggota rondaan, 3,570 kakitangan penyelenggaraan, 319 anggota RELA dan 50 anggota Pasukan Bantuan Kecemasan,” katanya.