
KUALA LUMPUR: Warga emas yang menampar pemuda bukan Islam kerana makan di sebuah pasar raya akan didakwa semula di Mahkamah Majistret Johor Bahru petang ini.
Pagi tadi mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) tertuduh selepas pihak pendakwaan memaklumkan kes dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.
Menurut AGC, semasa prosiding pagi tadi terdapat isu teknikal berkaitan pertuduhan difailkan individu terbabit.
“Isu teknikal melibatkan pertuduhan telah diatasi dan individu terbabit akan dituduh semula di Majistret Johor Bahru pada petang ini.
“AGC komited untuk memastikan semua pihak memperolehi keadilan yang sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan Abdul Razak Ismail, 65, mengaku bersalah tetapi tidak mengakui fakta kes dibacakan jurubahasa.
Justeru, Majistret A Shaarmini menolak pengakuan bersalahnya dan memerintahkan warga emas itu melantik peguam bagi membela diri.
Tetapi, sebelum tarikh ditetapkan, Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam memaklumkan pihaknya diarahkan merujuk kes itu kepada ibu pejabat AGC.
Sehubungan itu, majistret memutuskan tertuduh diberikan DNAA dan akan dituduh semula kelak.
Razak didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang pemuda di kedai serbaneka sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru pada 3.45 petang, Ahad lalu.
Terdahulu, mangsa berusia 21 tahun dalam hantaran X mendakwa dia didatangi seorang warga emas bertanyakan sama ada beragama Islam ketika ingin menikmati makanan di sebuah pusat beli-belah.
Katanya, warga emas itu turut meminta untuk melihat kad pengenalan sebelum menamparnya. Kemudian, anak suspek segera menenangkan keadaan dan memohon maaf atas tindakan bapanya.