
KUALA LUMPUR: Sejumlah 190 rumah terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu, kembali dihuni mangsa selepas pemeriksaan pihak bertanggungjawab mendapati ia selamat diduduki.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata setakat semalam, sebanyak 487 rumah terjejas diperiksa 12 agensi teknikal termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor Berhad, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan pihaknya.
“Daripada jumlah itu, rumah selamat diduduki sebanyak 328 buah dan 190 rumah telah dihuni,” katanya.
Hussein berkata sebanyak 306 rumah terjejas telah dibekalkan tenaga elektrik oleh TNB.
Kawasan berkenaan masih dikawal ketat oleh anggota polis yang bertugas dan hanya penduduk serta pihak mempunyai pas khas dibenarkan masuk ke kawasan terjejas.
Hussein akan mengadakan sidang media pada 4 petang ini bagi memaklumkan perkembangan semasa kerja menstabilkan tanah di ‘ground zero’, susulan terbentuknya kawah sedalam 8 meter dan berkeluasan 70×80 meter susulan kebakaran berkenaan.
Terdahulu, Hussein memaklumkan kerja menstabilkan tanah mencapai 30 peratus selesai.
Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi pada Aidilfitri kedua itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah celsius selain mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.