
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tidak menerima sebarang laporan kematian membabitkan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights seperti yang tular dalam media sosial.
KKM menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya tidak menerima laporan berhubung perkara itu daripada mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta.
“KKM mengambil maklum berkenaan beberapa komen dalam media sosial berkenaan kematian terkait insiden terbabit.
Katanya, satu laporan polis sudah dibuat dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) turut dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.
Berikutan, pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan komen tidak benar sehingga menimbulkan kegusaran awam akan diambil tindakan mengikut undang-undang.
Sementara itu, KKM berkata, sehingga pukul 12.30 tengah hari semalam, jumlah mangsa dirawat di seluruh hospital dan klinik berikutan insiden itu adalah seramai 150 orang.
Katanya, seramai 112 daripada jumlah itu sudah dibenarkan keluar hospital, 38 orang masih menerima rawatan di wad hospital iaitu 17 di fasiliti KKM dan 21 di fasiliti kesihatan swasta tanpa kemasukan baharu.
“Seorang pesakit masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta dan kesihatannya semakin menunjukkan kemajuan,” katanya.
Daripada 150 orang itu, seramai 127 mangsa mengalami kecederaan langsung daripada insiden seperti luka kebakaran atau kecederaan fizikal lain.
“Seramai 18 orang mengalami kecederaan tidak langsung seperti serangan kebimbangan, serangan panik dan tekanan darah tinggi, manakala lima lagi tidak menerima rawatan lanjut,” katanya.






