
SUNGAI PETANI: Impian sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata kedua berkecai apabila si ibu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Suri rumah berusia 35 tahun itu pada mulanya berasa sakit hendak bersalin sebelum suaminya menghubungi ambulan untuk mendapatkan bantuan.
Ketika menunggu ketibaan ambulan, wanita itu dikatakan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 5.57 petang semalam daripada petugas zon merah Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) memaklumkan wanita itu dan bayi dalam kandungannya sudah meninggal dunia.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menaiki ambulan.
“Doktor sudah melakukan pembedahan untuk mengeluarkan bayi dan disahkan bayi itu turut meninggal dunia di dalam kandungan.
“Hasil semakan yang dilakukan melalui temu bual suami mangsa juga mendapati, wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan.
“Berikutan itu, pemeriksaan mayat (Pol 61) dikeluarkan untuk mengetahui sebab kematian,” katanya.
Wan Azharuddin berkata, pemeriksaan lanjut terhadap mayat si mati mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat hari ini.