
BAGAN DATUK 24 Nov. – ‘Sejak tidak lagi membuat persembahan, kini saya ada masa untuk buat benda yang saya suka iaitu tolong isteri di dapur dan memasak’.
Demikian kata penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau ketika ditemui di kediamannya di Sungai Balai dekat sini baru-baru ini.
Menurut penyanyi berusia 81 tahun itu, beliau sememangnya gemar membantu isterinya di dapur dan memasak juga merupakan antara hobinya.
Kata beliau, jika ada masa lapang beliau membantu isterinya di dapur.
“Sekarang ni saya banyak masa terluang sebab dah tak mampu nak memenuhi undangan membuat persembahan.
“Masa inilah saya suka membantu isteri di dapur, selain itu saya juga suka memasak.
“Kebetulan hari ini saya masak ikan tiga rasa, lauk kegemaran saya,” katanya.
Baru-baru ini, M. Daud Kilau mengakui sudah sampai masanya beliau terpaksa melupakan dunia hiburan ekoran masalah kesihatan yang dialaminya.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu ‘Cek Mek Molek’ itu, kini beliau sudah tidak mampu untuk berdiri apatah lagi untuk menari atau ‘bergelek’ di atas pentas.
Masalah kesihatan yang dialaminya berlarutan selepas komplikasi membuang air kecil pada tahun 2016.
Menurutnya, beliau kini tidak mempunyai apa-apa perancangan dalam dunia hiburan sebaliknya hanya mahu menghabiskan masanya di kampung. – Perak Gazette
-synergy ceritera-