
KUALA LUMPUR: Malaysia akan membantu Palestin membina beberapa infratsruktur kritikal eperti sekolah, hospital dan masjid sebagai usaha pembangunan semula Semenanjung Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembinaan semula itu akan dilakukan menerusi kerjasama antara rakyat Malaysia dengan sektor swasta.
Beliau berkata, pembinaan infrastruktur penting boleh disifatkan sebagai usaha dan pengorbanan rakyat Malaysia dalam membantu Gaza ‘hidup semula’.
“Mudah-mudahan, Allah SWT memelihara kita dan menjamin keselamatan Gaza serta Palestin,” katanya menerusi rakaman video, hari ini.
Anwar berkata, usaha pembangunan semula Gaza itu juga melibatkan Kerjasama Malaysia dengan Jepun yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.

“Jepun sudah menjemput Malaysia untuk menjadi pengerusi Bersama dalam Persidangan Mengenai Kerjasama Antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang memfokuskan kepada pembangunan semula Gaza,” katanya.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan pembangunan semula Gaza yang hamper musnah akibat bedilan tentera Israel sejak Oktober 2023 dijangka melibatkan kos lebih AS$1 trilion (RM4.4 trilion).
Katanya, jumlah itu termasuk melibatkan pembinaan infrastruktur penting seperti hospital, sekolah dan masjid untuk kegunaan rakyat palestin.