
KUALA LUMPUR: Peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini bukan sahaja memfokuskan pembangunan ekonomi, malah melibatkan pembangunan golongan belia menerusi pelbagai cabang termasuk kemahiran.
Sehubungan itu, kepentingan mengukuhkan kerjasama serantau melalui agenda Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tidak boleh disangkal dalam meningkatkan daya saing ASEAN.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohammad Rizan Hassan, berkata, bagi merealisasikan perkara itu, Majlis TVET ASEAN (ATC) mempunyai peranan besar dalam meletakkan rantau ini sebagai dinamik dan berdaya saing di peringkat global.
“Menerima TVET sebagai keutamaan strategik bukan sahaja memberi manfaat kepada tenaga kerja dan industri dalam ASEAN, malah menyumbang kepada pertumbuhan mampan serta kemakmuran serantau alam jangka panjang.
“Adalah penting untuk negara serantau meningkatkan Kerjasama bagi memastikan faedah TVET memberikan hasil yang menyeluruh. Dengan berkongsi amalan terbaik, saling bertukar pengetahuan dan harmonikan standard kualiti dalam TVET, ASEAN boleh wujudkan ekosistem kemahiran yang berpadu.
“Pendekatan kolaboratif ini bukan sahaja memudahkan mobility buruh mahir di rantau ini, tetapi juga mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai destinasi pelaburan kompetitif,” katanya kepada Ceritera.
Pembangunan belia menjadi antara isu yang akan diketengahkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini bagi melahirkan generasi akan datang yang berdaya saing, kreatif dan menyeluruh.

Dalam pada itu, Mohammad Rizan berkata, ASEAN juga boleh mengutamakan perkongsian dengan pihak kepentingan luar, termasuk pemain industri, institusi pendidikan dan organisasi antarabangsa untuk mengukuhkan bidang TVET.
“Inisiatif kolaboratif seperti program latihan bersama, ‘industrial attachment’, dan pemindahan teknologi boleh meningkatkan lagi keberkesanan TVET dalam menangani keperluan ekonomi ASEAN yang semakin berkembang.
“Dengan memupuk perkongsian strategik, ASEAN boleh memanfaatkan kepakaran dan sumber luar untuk memacu inovasi dan kecemerlangan dalam pembangunan kemahiran,” katanya.