
KUALA LUMPUR 10 Jan. – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) meluluskan 37 permohonan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku keempat 2019 iaitu 94.8 peratus daripada permohonan yang diterima suruhanjaya itu bagi tempoh berkenaan.
Daripada jumlah itu, 12 untuk laluan domestik manakala bakinya adalah laluan antarabangsa.
Laporan Mavcom menyatakan, Malindo Air menerima jumlah kelulusan tertinggi iaitu sebanyak 15 ATR.
AirAsia Group pula menerima 10 ATR diikuti Malaysia Airlines Bhd. (tujuh).
“Daripada 37 kelulusan ATR pada suku keempat 2019, sebanyak 21 ATR dikeluarkan untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tiga dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dan baki 13 dari lapangan terbang lain,” jelas Mavcom.
Terdahulu, penumpang Malindo Air bagi penerbangan dari dan ke beberapa destinasi tertentu Australia diberi pilihan untuk menukar tarikh perjalanan mereka.
Perkara itu tertakluk kepada penerbangan antara 7 dan 31 Januari ini yang dikeluarkan pada atau sebelum 7 Januari lepas.
Dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Bernama, syarikat penerbangan itu memaklumkan, pertukaran itu boleh dilakukan oleh penumpang dari dan ke Sydney, Perth, Melbourne, Adelaide serta Brisbane.
Penumpang hanya boleh menukar tarikh penerbangan tetapi bukan destinasi mereka, dan ini akan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
Tarikh perjalanan baharu itu tidak boleh melebihi enam bulan dari tarikh pelepasan asal, dan semua butiran mengenai tiket asal tersebut harus ditunjukkan pada tiket baharu, termasuk tambang asas dan pengiraan tambang.
Malindo Air memberitahu, perbezaan tambang dan fi pertukaran akan dikecualikan dan semua perubahan harus dilakukan sebelum tarikh pelepasan.

Syarikat penerbangan itu telah mengeluarkan nasihat perjalanan berikutan kebakaran hutan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang terus memusnahkan bahagian tenggara Australia.
Penumpang boleh menghubungi pusat panggilan Malindo Air di + 603-7841 5388 atau melawat kaunter tiket syarikat penerbangan tersebut untuk jadual terbaharu.