
KINABATANGAN: Mangsa yang hilang dipercayai dibaham buaya ditemukan tanpa sebelah tangan pada jarak satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang di Sungai Kinabatangan berhampiran Kampung Bilit, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang semalam, mangsa dikenali sebagai Maznin Kahar,40, dilaporkan dibaham buaya selepas bot yang dinaiki bersama tiga rakan lain terbalik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, mayat mangsa ditemukan terapung oleh orang awam pada pukul 6 pagi tadi pada jarak satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya.
Mayat mangsa yang ditemukan tanpa tangan sebelah kiri diserahkan kepada pasukan PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat keluarganya, mangsa bersama tiga rakan sekerja menaiki bot yang membawa muatan kayu belian ke tempat pemunggahan.
Namun, ketika dalam perjalanan, bot yang mereka naiki terlanggar satu objek menyebabkan bot tersebut terbalik dan karam.
“Tiga mangsa dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing. Mangsa pula sempat meminta bantuan ketika diserang buaya namun, tidak dapat diselamatkan oleh rakan-rakannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, susulan insiden itu, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan bantua polis serta orang kampung.
Operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada pukul 5.39 petang dan bersambung pagi tadi sehingga mayat mangsa ditemukan.